Monday, April 20, 2009

TUJUAN BLOG INI

Kalau kalian sudah membaca puisi di bawah, anda faham bahawa blog ini:

1. Untuk peminat puisi yang tidak ku khususkan siapa, dari mana?

2. Untuk peminat politik sama ada tempatan mau pun luaran (dari Baling);

3. Untuk anda muatkan puisi atau prosa mengenai politik Baling, Kedah,
Malaysia hatta dunia sejagat pun;

4. Untuk anda muatkan komen anda yang ikhlas bukan tatapan saya saja bahkan untuk semua;

5. Bukan untuk anda melepaskan geram atau melemparkan fitnah kepada sesiapa (segala
muatan yang berunsur demikian akan saya singkirkan);

6. Juga saya mempersilakan komen dalam dwi-bahasa (dan juga dalam
loghat Baling Pattani atau Kedah);

7. Saya merancangkan memautkan blog ini dengan bloggers anak Baling & Kedah dari
masa ke semasa.

SELAMAT BERLAYAR

Sunday, April 19, 2009

Baling Nan Bersejarah (Untuk Menungan Anak Baling)

Daerah Baling dulu daerah terpencil Negeri Kedah
Tanah tempat aku dan kalian tumpah darah
Di timur meminggir Perak ke selatan
Meminngir ke utara menjangkau sempadan Siam
Menghulu utara ke Sik, menghilir ke barat ke Penang
Udah pesat membangun bukan lagi tempat jin bertandang

Bumi indah menjana flora dan fona menawan
Dilakar banjaran gunung santuari unggas dan haiwan
Dari Tanjung Pari, mengalir ke muara Pekan Baling
Air sejuk yang dulu bersih bagai disuling
Kini keruh bertemu air dari Pengkalan Hulu
Mengalir ke Sungai Ketil sarat cemaran dan bau

Sejarah yang pelbagai menggamit ingatan yang semakin pudar
Kalau dulu jelas bagaikan baru terjadi namun kini makin berbalar
Raja Bersiong mengundang gerun dek taring yang menajam
Chin Peng mengundang malu betapa gagal satu rundingan
1974 mogok lapar menggegar Baling
Harga getah sedikit cuma tak mampu menyaing

Anwar datang bertempek orang kampung pun terbit
Namun yang miskin masih tersadai tersepit
Titik hitam darah Syuhada' Memali memercik di Caruk Putih
Ibrahim Libya dibunuh kerana menentang Akta tinggalan Mat Saleh
Baling akan terus melakar sejarah demi sejarah
Ku berdoa agar rakyat akan sentosa tanpa menempah parah.

Balingku kini diantara simpang siur timur barat
Mengelar tubuhnya dengan lebuh, lengkok dan cangkat
Mengalir keluar anak watan mencari ilmu, wang dan pangkat
Mengalir masuk anak dagang mencuri peluang dan tempat
Di arus politik menjurus anak watan merempat
Azeez & Mashitah disinggahsana politik menjabat

Balingku juga Balingmu sama yang itu jua
Tempat lahir, bermain dan sama menempah tua
Marilah Ismail, Sopiah, Taib dan Johari dan Suriati
Kalian orang Baling walaupun Melayu, Keling atau Benggali
Dibahu kalian ada beban yang terpaksa digalas
Rentikanlah menuding. renungilah kami dengan belas